08 October 2011

:: Aku Pilih Untuk Berdiam Diri ::



Dunia semakin mencabar.Keringat usaha dibalas dengan tohmahan keji.Pengorbanan dibalas dengan dendam dan iri hati. Peritnya rasa di hati. Ya Allah. Hampir sahaja tidak tertanggung cabaran itu. Manusia kini semakin hilang nilainya. Hanya yang kuat mampu menahan melawannya. Hanya yang cerdik mampu menangani. Hanya yang tabah mampu mengharungi. Hanya yang lemah yang akan menangis sendirian. Pilihan mana yang mana akan kita pilih dan lalui.


Ini tentang soal kata. Hari ini pedang tidak lagi setajam kata sindiran. Hari ini kereta tidak lagi selaju kata cercaan. Hari ini luka itu tidak sesakit kata hinaan. Lancangnya kata mudah sahaja meluncur bicara. Hari ini definisi kata itu berubah tanpa sedari. Hampir tiada lagi kedengaran kata yang memberi ketenangan jiwa. Hampir tiada lagi. Usahlah bersedih wahai dunia.

Diam itu mampu mengubati hati yang duka lara. Berdiam diri daripada berkata kata yang tanpa makna. Berdiam diri agar tidak mengundang bencana ciptaan manusia. Berdiam diri itu ada hikmahnya yang tersendiri. Sedarilah diri sedarilah hikmahnya. Renunglah dalam hidupmu.

Hikmahnya berdiam diri ;
1. Sebagai Ibadah tanpa bersusah.
2. Perhiasan tanpa berhias.
3. Kehebatan tanpa kerajaan.
4. Benteng tanpa pagar.
5. Kekayaan tanpa meminta maaf kepada orang.
6. Istirehat bagi kedua Malaikat pencatat amal.
7. Menutupi segala aib.

Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: 
"Barang siapa yang banyak perkataannya (bercakap), nescaya banyaklah silapnya. Barang siapa yang banyak silapnya, nescaya banyaklah dosanya. Dan barang siapa yang banyak dosanya, nescaya neraka lebih utama baginya."
(Hadis riwayat Abu Naim)

قوله صلى الله عليه وسلم : من كان يؤمن بالله واليوم الآخر فليقل خيرا أو ليصمت 

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Barang siapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam."

Dalam sebuah hadis lagi, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Barang siapa diam maka dia terlepas dari bahaya." (Hadis riwayat At-Tarmizi)

Madah yang berhikmah. Banyak diam tidak semestinya bodoh, banyak cakap tidak semestinya cerdik kerana kecerdikan itu buah fikiran, orang cerdik yang pendiam lebih baik daripada orang bodoh yang banyak cakap. Menasihati orang yang bersalah tidak salah. Yang salah ialah memikirkan kesalahan orang lain. Selami diri yakinkan hati pilihlah keputusan hidup kita dengan hikmah yang ini. InsyaAllah. Allah sentiasa bersama kita.

-Muhamad Khairul Fitri Bin Sarimin-

1 comment:

Anonymous said...

MEMILIH SUNYI

Aku lebih rela sendiri
dari berteman
saat memahami
makna iman dan amal.

Aku lebih suka sendiri
dari berkawan
saat mencari
hakikat insan dan diri.

Saat aku merindui
diriku sendiri
aku lebih rela
bersunyi
menganyam masa lalu
menjahit mahabbah
merenung takwa
membilang cinta-Mu
yang bergugus di kalbu.

SHAMSUDIN OTHMAN

-Paparan Terhangat-

Para Pujangga