Saya bukanlah seorang yang tinggi ilmunya atau baik akhlaknya untuk berkata. Saya juga manusia biasa yang penuh dengan kekhilafan dalam kehidupan. Namun saya masih mempunyai fikiran yang waras dan rasional tahu apa itu dosa dan pahala, syurga dan neraka. masih lagi siuman dan tahu apa itu tanggungjawab, apa itu amanah dan apa itu yang dikatakan kasih sayang sesama saudara sesama Islam.
Kali ini saya cuma ingin berkongsikan apa yang terlintas di fikiran saya iaitu mengenai nasihat. Perkongsian ini tidak lain tidak bukan hanyalah untuk memberi kepada nasihat diri sendiri dan mereka yang dibukakan pintu hatinya oleh Allah untuk membaca petikan ini. Bila bercakap tentang nasihat. Kebiasaanya, kita akan selalu dengar ayat-ayat seperti ini bila kita menasihati seseorang.
" Nak nasihat orang konon, engkau pun sama je ''
" Kau bukan ustaz, tak payah nak nasihat aku "
" Kau nie dah buang tebiat ke apa? nak nasihatkan aku plak "
" kau tu bukannya baik sangat pun "
" Cermin diri tu dulu sebelum nasihatkan orang "
Aduhai, ini lah ragam manusia bila kita beri nasihat bermacam-macam jawapan yang diberikan, namun sering kali di balikkan semula kepada kita. Akhirnya lama-kelamaan kita pun jadi malas untuk memberi nasihat kepada mereka lagi. Namun kepada pemberi nasihat, jangan pernah mengalah kerana dalam memberikan nasihat, sememangnya bukan semua orang terbuka untuk menerima nasihat atau teguran terhadap kesalahan diri sendiri. Bergantung pada ego hamba Allah itu sendiri. Berdoalah semoga dibuka pintu hati mereka.
Sekurang-kurangnya kita telah mejalankan tanggungjawab kita melalui lisan. Jika bukan kita siapa lagi. Namun perlu di ingat wahai sahabatku sekalian. Kata-kata itu umpama pedang yang mampu merobek jantung pendengarnya. Jaga adab dalam memberikan nasihat. Jangan pernah sesekali bangga diri atau beremosi sehingga hilang kawalan diri. Ya, di sini pentingnya HIKMAH. Bijaksana dalam mengatur kata dan mengawal situasi. Moga terungkai Hikmah di situ. Bagaimana caranya? Tepuk dada, tanya iman. Sebenarnya anda sudah ada jawapannya. Renung-renungkan dan selamat beramal.
" Berikanlah nasihat kepada aku di kala aku sedang bersendirian dan janganlah menasihati aku di kala aku tengah kerumunan orang. Memberi nasihat di tengah keramaian orang samalah dengan kehinaan dan aku tidak sudi untuk mendengarnya. Apabila engkau tidak bersependapat dengan aku dan aku tidak mahu mematuhi nasihat kamu, maka janganlah kamu marah."
(Imam Syafie)
- Muhamad Khairul Fitri Bin Sarimin -
No comments:
Post a Comment