Terdapat tiga gabungan unsur kemahiran peribadi yang boleh menjadikan individu itu adalah yang terhebat. Unsur-unsur berikut adalah seperti yang direncanakan di bawah :
1.MENGENDALIKAN STRESS
Manusia tidak pernah terlepas dari belenggu masalah dan cabaran. Kemana sahaja kita bersembunyi,kita sentiasa diladeni dengan permasalahan dan membawa kepada tekanan/stress. Individu yang mampu mengawal keadaan ini dengan berhemah dan rasional adalah tergolong dalam golongan yang hebat. Kerana stress ini mampu mengganggu gugat kesabaran dan iman umat manusia dan mampu membuat seseorang itu bertindak di luar kotak pemikiran dan di luar kawalan. Jelaslah lemahnya kawalan stress dalam diri mampu menjatuhkan diri setiap individu itu. Berfikir secara rasional itu lebih baik daripada berfikir secara emosional. Solusinya, bertenanglah, bersabar dan minta pertolongan Allah. Moga di beri petunjuk.
" wahai orang-orang yang beriman. bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara kebajikan) dan kuatkanlah kesabaran kamu (lebih daripada kesabaran musuh di medan perjuangan) dan bersedialah ( dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu berjaya"
(Surah Al-Imran : 200)
2.PENGURUSAN MASA
24 jam sehari,60 minit sejam dan 60 saat seminit. Sekiranya masa yang dikurniakan kepada kita tidak diuruskan dengan baik maka huru-hara lah kehidupan kita.Kucar-kacirlah perjalanan hidup kita. Masa itu boleh diibaratkan emas dan masa itu juga boleh diibaratkan seperti pedang. Mampu membunuh mereka yang gemar melakukan kerja bertangguh.Sehingga hari ini tiada siapa yang mampu menyangkal bahawa masa itu amat penting biarpun sesaat mahupun sedetik. Sesungguhnya masa akan tetap berjalan mengikut aturan percaturan-Nya.
Justeru,lakukanlah sesuatu bagi menguruskan masa kita sebaiknya seperti penyediaan Jadual waktu, pemasangan jam berpenggera dan lain-lain lagi. Barangsiapa yang tidak mempunyai masa terluang hakikat sebenarnya mereka adalah terdiri daripada orang-orang yang tidak bijak menguruskan masa. Begitu juga dengan mereka yang mempunyai masa terluang tapi tidak digunakan dengan sebaiknya, sesungguhnya mereka dalam kerugian.
3.HUBUNGAN INTERPERSONAL
Manusia tidak boleh hidup bersendirian. Praktikalnya,manusia adalah saling memerlukan dan bergantungan antara satu sama lain. Menjaga hubungan baik antara satu sama lain adalah salah satu elemen yang perlu ditanamkan kedalam jiwa-jiwa manusia. Jika ditanya bagaimanakah hendak menjaga hubungan baik dengan orang lain?Jawapannya cukup mudah. Tunjukkan sesuatu yang baik dalam diri kita, lahir dari hati dan bukannya hipokrit. Jaga tingkah laku, butir bicara dan adab. Menghormati orang lain.
Kemahiran komunikasi yang berhemah memainkan peranan penting dalam hubungan interpersonal. Usah menjadi kera sumbang di jutaan himpunan manusia di dunia nyata. Berprasangka baik dan saling membantu dapat mengeratkan lagi ukhwah erti perhubungan terhadap orang-orang sekeliling kita.
Secara total, ketiga-tiga campuran elemen ini mampu menjadikan diri individu itu lebih dihormati dan mampu menyerlahkan kehebatan diri secara halus. Sekiranya perkara-perkara ini diterapkan dalam setiap individu maka akan lahirlah satu generasi yang hebat di dunia ini. Akhir kata,bersama-samalah kita mencorakkan kehidupan kita ini dengan peribadi yang mulia dan diredhai Allah. InsyaAllah. Semoga Allah mempermudahkan segala urusan kita.
Muhamad Khairul Fitri Bin Sarimin
Diploma Kejuruteraan Awam
Universiti Teknologi Malaysia International Campus.
No comments:
Post a Comment