09 November 2010

-Kemahiran Yang Perlu Ada Pada Mahasiswa Dari Segi Akademik-

Mahasiswa perlu menyerlah seiring dengan gelarannya. Dalam sedar atau tidak bukan mudah untuk bergelar seorang mahasiswa. Setiap individu lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi yang memohon akan melalui sistem meritokrasi iaitu sistem pemilihan berdasarkan pencapaian akademik dan 10% adalah daripada penglibatan kokurikulum sebelum diserap ke IPT. Diingatkan bahawa tiada kompromi mahupun kepincangan pilih kasih dan rasuah di sini. Semuanya berdasarkan fakta dan rekod individu itu sendiri.

Sementelahan itu bagi mereka yang sudah bergelar mahasiswa, Tahniah diucapkan. Namun sedarilah peluang ini. Jangan dipersia-siakan kerana ramai yang menangis atas kemasukkan kita ke universiti. Oleh itu, tingkatkanlah prestasi di institut pengajian tinggi ini kerana andalah pemangkin masa hadapan dan andalah bakal pemimpin tersohor masa hadapan. Galas cabaran dan tanggungjawab ini sebaiknya kerana orang ramai dan pihak kerajaan amat mengharapkan anda. Sesungguhnya amanah itu adalah yang paling berat sekali.

Namun, tahun demi tahun statistik pendidikan menunjukkan mahasiswa masih di tahap lesu dan lemah dari segi akademik dan Melayu khususnya. Adakah mereka seperti ini yang diharapkan negara? Kepada mahasiswa-mahasiswa sekalian bangkitlah ke satu era yang baru. Terimalah kenyataan dunia hari ini. Di mana, anda yang kurang ilmu akan ketinggalan, dipijak dan diperbodohankan oleh golongan yang cerdik pandai dengan kata-kata nista dan berputar alam.

Di sini saya saya telah menggariskan 4 aspek yang perlu di kuasai dalam skop kemahiran Akademik :


1.PEMBELAJARAN BERKESAN
Pertama sekali adalah penyediaan lokasi pembelajaran yang kondusif dan sesuai dengan mood belajar. Sekaligus dapat membangkitkan semangat belajar dan berkekalan. Selain itu pembelajaran berkesan adalah memberi tumpuan penuh semasa di kuliah dan ulangkaji pelajaran dalam lingkungan masa 10 jam selepas kuliah dan adalah lebih baik jika mengulangkaji pelajaran sebaik sahaja tamat sesi kuliah. Daya ingatan manusia akan berkurangan dari semasa ke semasa, maka lakukanlah ulangkaji seawalnya. Suka untuk mengingatkan Study Last Minutes itu bukan lah satu langkah bijak jika dipraktikkan oleh golongan mahasiswa yang berilmu.

2.KEMAHIRAN KENDALIAN KAJIAN
Dalam kendalian kajian kita seharusnya melakukan secara menyeluruh. Kerja kursus adalah salah satu contoh kendalian kajian. Kita perlu menyelidiki beberapa perkara dengan merujuk kepada pelbagai jenis buku, melayari laman sesawang mahupun survey responden ataupun melawat ke agensi-agensi berkaitan. Erti kata lain kita tidak boleh hanya tertumpu kepada satu sumber rujukan sahaja. Sebagai tambahan, sumber rujukan kita hendaklah fakta sahih dan mengikuti peredaran zaman dan bukannya sesuatu yang telah ketinggalan zaman.

3.KEMAHIRAN PENULISAN ILMIAH
Penulisan ilmiah bukanlah satu perkara yang boleh dipandang enteng oleh kita. Kerana penulisan dapat membantu kita untuk mengingati sesuatu nota yang ditulis. Menulis nota merupakan salah satu yang dikatakan Study Smart. Di tambah lagi dengan penulisan yang kemas, mudah di baca dan ringkas. Selain itu faktor warna juga dapat membantu ingatan sebanyak 78%. Justeru itu, perindahkanlah nota-nota kita dengan keharmonian warna-warna.

4.MENGUASAI PEPERIKSAAN 
Peperiksaan. Pertama sekali adalah jaga kesihatan, sediakan peralatan yang diperlukan dan tiba awal dan tidak tergesa-gesa. Terburu-buru itu merupakan petanda awal yang akan mengganggu konsentrasi semasa menjawab soalan. Apa yang penting ketika di dewan peperiksaan adalah berdoa dan berselawat terlebih dahulu. Kemudian baca kesemua soalan sebelum menjawab. Tulis semua formula penting bagi mengelakkan penyakit lupa. Sekiranya berbentuk artikel, gariskan isi-isi penting. Berwaspada kepada soalan yang mempunyai perkataan BUKAN, KECUALI, TIDAK dan seumpamanya kerana sering kali kita terlepas pandang. Akhir sekali bertawakallah kepada Allah atas usaha bersungguh-sungguh yang telah kita lakukan.

Penutup kata dari saya, Bersama-samalah kita mempertingkatkan kemahiran akademik kita demi mencapai sasaran dan tanggungjawab kita selaku mahasiswa. Beramallah dengan ilmu kita. Insya Allah, Allah akan mempermudahkan urusan mereka yang mencari ilmu kebaikkan.

"Tanpa ilmu dan harta itu sampah, Mempunyai harta tanpa ilmu itu alat, Mempunyai ilmu tanpa harta itu hamba, Dan mempunyai ilmudan harta itu tuan "

-Saidina Ali r.a-


Muhamad Khairul Fitri Bin Sarimin
Diploma Kejuruteraan Awam
Universiti Teknologi Malaysia International Campus


No comments:

-Paparan Terhangat-

Para Pujangga