10 August 2011

:: Kelebihan Bersahur Pada Bulan Puasa ::


Kita hanya akan bersahur bila mana kita hendak berpuasa sama ada puasa sunat atau puasa wajib dalam bulan Ramadhan. Sebenarnya terdapat banyak fadhilat bersahur yang mungkin tidak kita ketahui. Petikan kali ini mengajak kita untuk merungkai bersama-sama apakah kelebihan bersahur.

Sabda Rasullullah,
" Bersahurlah kamu kerana sesungguhnya pada waktu sahur itu terdapat keberkatan." 
(Hadis riwayat Bukhari)

Sabda Rasullullah,
“Bersahurlah, sekalipun dengan seteguk air.” 
(Hadis riwayat Ibnu Hibban)

Sabda Rasullullah,
" Sebaik-baik makanan sahur bagi orang mukmin adalah kurma" 
( Hadis riwayat Ibnu Hibban & Baihaqi)

Sabda Rasullullah,
 " Bersahur ada keberkatan. Oleh itu, janganlah kamu meninggalkan walaupun hanya meminum seteguk air.Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat ke ats orang-orang yang makan sahur." 
(Hadis riwayat Ahmad)

Sabda Rasullullah, 
“Sesungguhnya Allah dan malaikatnya mengucapkan selawat (berdoa dan memohon daripada Allah akan keampunan dan keredaan) ke atas orang yang bersahur.” 
(Hadis riwayat At-Tabrani)

Sabda Rasullullah, 
"Perbezaan di antara puasa kami dengan puasa ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) ialah adanya makan sahur.”
(Hadis riwayat Muslim)

Dari Anas Bin Malik bahawa zaid bin thabit pernah berkataKami pernah bersahur bersama Rasulullah s.a.w. Setelah itu kami pun mendirikan sembahyang Subuh. Kemudian aku bertanya: Berapakah selang waktu di antara keduanya? Baginda menjawab: Kira-kira bacaan lima puluh ayat. 
(Hadis riwayat Bukhari)



Terdapat beberapa lagi hadis mengenai sahur ini. Seterusnya marilah kita bersama-sama mengambil pengajaran daripada hadis-hadis di atas :-

i) Waktu bersahur ialah bermula pada pertengahan malam hingga terbit fajar namun disunatkan untuk mengakhirkan waktu bersahur iaitu kira-kira 10 atau 15 minit sebelum bilal melaungkan azan Subuh. Rasulullah s.a.w pernah bersabda bahawa waktu bersahur itu adalah bersamaan dengan bacaan 50 ayat suci Al-Quran. 

ii) Mengantuk dan letih tidak boleh dijadikan alasan untuk enggan bersahur kerana sahur dapat membantu menguatkan badan orang yang berpuasa untuk mengerjakan ibadat puasa pada sebelah siangnya, di samping sahur itu sendiri adalah satu amalan sunat yang berkat. Menurut Ibnu Hajar Al-Asqalani, yang dimaksud dengan berkat (barakah) itu ialah akan mendapat ganjaran dan pahala di mana Allah akan merahmati orang-orang yang makan sahur dan malaikat juga akan mendoakannya.

iii) Pengambilan makanan sahur adalah titik yang membezakan antara puasa penganut agama lain dengan puasa kaum muslimin kerana penganut lain tidak bersahur sebelum berpuasa. 

iv) Waktu sahur adalah waktu yang paling mustajab untuk berdoa kepada Allah S.W.T. 

v) Sahur itu boleh dilakukan dengan sedikit makan walaupun cuma seteguk air. Namun tidak digalakkan untuk mengambil terlalu sedikit atau terlalu banyak makanan pada waktu sahur. Memadai dalam anggaran yang secukupnya bagi membantu untuk mengerjakan puasa pada keesokan harinya kerana pengambilan makanan yang terlalu banyak atau terlalu sedikit pasti akan mengganggu kesihatan.

Ada banyak lagi kelebihan bersahur yang tidak ketahui. Oleh itu salinglah kita mengingati antara satu sama lain untuk tidak lupa untuk bangun bersahur.

Cadangan bacaan :

No comments:

-Paparan Terhangat-

Para Pujangga