Ini Kisah Yang Panjang Untuk Diceritakan.
Sepanjang hampir tiga tahun aku di sini dan pelbagai ilmu kehidupan telah aku pelajari di sini. Dari seorang yang selalu duduk di kerusi belakang sehinggalah aku yang paling hadapan sekali. Siapa sangka aku telah mengalami satu transformasi dalam hidupku. Mencari arah kehidupan. Syukurlah ia satu perubahan yang positif.
Sesuatu perubahan itu pasti ada sebabnya atau peransangnya. Aku menjadi seperti hari ini adalah kerana KKDK, Kelab Kaunseling Dan Kerjaya UTM IC. Ingin aku imbau semula sejarah aku mendaftar. Jujur sebenarnya aku tidak berminat langsung dengan kelab ini. Mungkin namanya ada perkataan kaunseling yang seakan sinonim dengan bosan dan skema. Maaf.
Tapi kawan aku yang terawal UTM nie, Fakhrul mengajak aku untuk masuk mendaftar sebagai ahli KKDK. Maka bersama-samalah kami mendaftar. Sewaktu itu pendaftaran dibuat di Kafeteria antara ahli KKDK yang menguruskan pendaftaran aku adalah Abg Syuk & Kak Rusydiah. Pendaftaran yang meriah seperti pasar malam lagaknya. Selepas membayar yuran keahlian seumur hidup RM5 rasmilah aku menjadi ahli KKDK.
Program pertama adalah Evolution Night di Dewan Besar. Program nie program makan-makan bagi meraikan ahli-ahli baru bertema hitam merah dan putih kalau tak silap. Aku dengan Fakhrul datang lambat sikit jadi kami pun seperti biasa duduk di meja belakang sekali. Kelihatan semua berpakaian cantik dan berwajah manis dan gembira. Begitu juga dengan tetamu jemputan dan para alumni yang tidak ku kenali. Tapi aura itu tidak memasuki diriku untuk riang seperti mereka.
Kerana hatiku tidak terusik olehnya. Satu semester aku menjauhi kelab ini. Hanya sekadar menjadi friend di page fb dan melihat poster-poster program kelab ini di Lif dan papan kenyataan.
* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *
Semester dua bermula, pada suatu petang yang tenang. Aku sedang tidur waktu itu. Mendapat mesej daripada no. yang tidak dikenali untuk turut serta dalam satu program perkhemahan di Dusun Eco Resort Pahang. Ingin sahaja aku abaikan tapi bila merasakan awal sem yang bosan dan peluang berjalan-jalan lalu aku memberi jawapan setuju.
Setiba di tapak perkhemahan dan sesi Ice Breaking, baru ku sedar hanya dalam 7 orang budak tahun satu dan sekali lagi semua tidak ku kenali melainkan Amirul Hilmi, rakan sekelasku. Aku terasa asing di kelompok yang asing. Aku pasif. Hanya sekadar memerhati gerak geri dan tingkah laku para fasilitator.
Aktiviti demi aktiviti aku ikuti. Seperti ada satu magnet. Setiap habis satu aktiviti aku teruja menantikan aktiviti seterusnya. Bayangkan aku belajar menari, tepuk-tepuk dan tradisi kelab serta menggubal deklarasi perancangan 5 tahun kelab. Sehinggalah pada sebelah malam aku menjadi bilal, imam dan pendebat wakil kumpulan junior. Tapi ada satu perkara yang membuatkan aku benar-benar tersentuh dan tertarik. Ini aku lihat dengan mataku sendiri.
Night Walking. Hanya dibenarkan menggunakan dua lampu suluh sahaja. Walaupun sebenarnya aku membawa lampu suluh mini di poketku tapi aku tidak mahu menggunakannya aku ingin bergelap seperti yang lain. Berjalan mendaki bukit di belakang tapak perkhemahan.
Aku lihat seorang ini, terlalu suka menyusahkan diri sendiri. Dia membawa lampu suluh. Sekejap ketengah, sekejap ke hadapan dan kebelakang. Melalui jalan yang bukan laluan, jalan yang berbahaya sehinggakan tergelincir sedikit. Terus menyuluh jalan untuk kami yang seramai lebih kurang dalam 30 orang aku rasa. Entah kenapa dengan makhluk ini. Dari awal perjalanan sehingga akhir aku hanya memerhatikan pergerakkannya.
Hari terakhir, sesi bersama alumni. Alumni menceritakan tentang betapa kasihnya mereka terhadap kelab ini. Menceritakan segala jerit perih yang dilaluinya bersama kelab ini. Menceritakan kisah 20 tahun yang lalu kelab ini. Sehinggakan menitis air matanya. Seakan berjangkit.
Seorang demi seorang juga sebak dan tertumpah juga air mata mereka. Bermula dengan orang yang ku perhatikan malam tadi, Abg Aiman, Presiden pada waktu itu yang menerpa dan memeluk alumni itu, Abg Hairi bagi menenangkan beliau. Aku tidak pasti keadaan aku pada waktu itu. Aku juga seperti merasai sama kesedihan dan kesusahan yang diceritakan. Seakan tersentuh.
Sesi terakhir kami diminta bersalam-salaman antara satu sama lain dan berpelukan sambil membisikkan ke telinga. "Terima kasih awak, awaklah kawan baik saya dunia akhirat " .Tapi ada bisikan tambahan. "Stick kat KKDK ye Fitri" dan lain-lain lagi. Namun semuanya seperti memberitahu, jika tidak ada orang yang kekal bersama KKDK maka tidak akan bergerak kelab ini. Aku terasa sebak tatkala dipeluk Abg Aiman. Aku juga tewas dan menangis. Namun dihati ku tekad. Aku akan terus bersamamu dan menyokong teguh.
* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *
Cerita ini tidak terhenti di sini, bersambung....
No comments:
Post a Comment