Tiga tahun aku di lembah ilmu ini, hampir semua kehidupan di sini aku kenali. Dari yang tua hingga yang muda, dari yang biasa hinggalah yang tinggi pangkatnya, juga sahabat-sahabat yang baru sahaja tiba dari lembah yang lain. Bak kata pepatah berkawan biarlah beribu. Aku juga baik dan harmoni bersama ikan-ikan yang berjawatan dan penjaga lembah ini. Aku gembira berada di sini dan bekerjasama dalam sebarang aktiviti walaupun aku juga dalam proses pembelajaran.
Aku seronok membantu rakan-rakan yang mengadu masalah kepadaku. Ini tanggungjawabku. Andai tidak tahu pasti akan ku sampaikan kepada yang tahu. Mungkin aku tidak sesempurna seperti pemimpin yang lalu, namun aku cuma lakukan apa yang termampu. Aku usahakan walau ada yang kurang selesa. Namun sejujurnya, Aku lebih bahagia melihat sahabat-sahabat yang lain gembira. Satu kepuasan apabila masalah dapat diselesaikan.
Sehinggalah suatu hari, hari yang amat penting dalam karier perjuanganku. Perjumpaan antara setiap ketua-ketua dan dipengerusikan oleh Timbalan Penghulu. Kami membincangkan sepenuhnya masalah yang dihadapi oleh warga laut biru. Satu persatu aduan aku keutarakan dan dibahaskan. Jelas ada yang terasa, ada juga yang terpaksa kami telan pahit dan pedasnya kata-kata. Namun perjuangan perlu diteruskan. Mesyuarat yang berlangsung hampir 4 jam itu akan disusuli dalam tiga purnama dari hari ini.
Semuanya berubah saat bersurainya majlis tersebut. Bahangnya terasa. Pandangan tajam Si ikan buntal, dan segelintir ketua-ketua terpaksa kami tempuhi. Suara-suara sumbang juga terpaksa kami hadapi. Salaman si jerung juga menyakitkan. Namun ini demi ikan-ikan yang lain. Kami yang memilih jalan ini. Jika tidak kami, siapa lagi yang akan memperjuangkan.
Aku hampir goyah. Sebelum ini ikan-ikan berjawatan melayan kami dengan baik. Namun kali ini mereka melayan aku juga sopan namun bernada sinis. Mungkin terkena tempias aduan semalam. Salahkan aku? Aku cuma memperlihatkan bahagian yang kurang berdasarkan aduan. Tidaklah aku berkata jika tiada aduan dan bukti. Aku sedikit kecewa. Banyak sebenarnya.
Ingin sekali aku katakan padanya, jangan salahkan peguam jika pesalah jelas bersalah. Keputusan aku nekad. Biarlah aku dibenci dan menjadi seekor ikan sepat yang tidak digemari, berjalan sepi seorang diri. Aku rela menadah semua itu, kerana aku percaya aku masih ada sahabat-sahabat dan keluarga yang sentiasa menyokong aku. Aku kuat kerana mereka.
Aku masih tinggal beberapa hari lagi. Tanggungjawab tetap satu amanah. Itu perjanjian diri dengan Tuhan. Aku dengan tugas aku, dan kamu dengan tugas kamu. Jangan pandang rendah pada kami.
Selamat Maju Jaya dari saya si bodoh sepat.
2 comments:
fitrah manusia ada yang suka ada yg tak suka. ada yg boleh terima ada yg tak boleh terima. yang penting kita dah cuba yg terbaik kan. apa2 pun gud luck si sepat! nice writing.
berjuanglah kamu pada landasan yg betul..kebenaran itu tetap akan jelas pada suatu ketika walaupun hari ini kabur pada pandangan mata..~gagahilah apa yang menjadi tanggungjawab hingga ke garisan penamat~
Post a Comment